RSS
Write some words about you and your blog here

TEKNOLOGI TANAM SEMULA BAKAU


Tragedi Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 merupakan salah satu faktor utama yang membawa kesedaran tentang kemusnahan kawasan hutan bakau. Kejadian tersebut membuktikan kepentingan atau peranan hutan bakau atau paya laut sebagai pemecah ombak dan penstabil pesisiran pantai. Kawasan persisiran pantai negara-negara yang dilitupi pokok bakau telah menunujukkan kesan kemusnahan yang minimum oleh ombak tsunami. Di Sabah, terdapat pokok paya bakau di kawasan seluas 586,036 hektar dengan 57 peratus dan di Sawarak sebanyak 26 peratus. Manakala di Semenanjung Malaysia pula sebanyak 17 peratus. Usaha perlu dipertingkatkan demi menstabilan ekosistem kawasan pesisiran dan juga memastikan hutan paya laut terpelihara.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menyedari masalah ini dan menjalani R&D pemulihan hutan bakau dengan bantuan kewangan kerajaan. Dr. Shamsudin Ibrahim sebagai Ketua Koordinator kajian tersebut Dr. Ismail Harun sebagai Ketua Kepakaran Teknikal dan Dr. Raja Barizan Raja Sulaiman sebagai Ketua Penyelidik. kawasan pantai Sungai Haji Dorani dijadikan sebagai lokasi penyelidikan. Kumpulan ini memperkenalkan kaedah penanaman inovatif dan kos efektif yang boleh dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai. Dr. Shamsudin yang juga selaku sebagai Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM, mengatakan bahawa projek yang dijalankan tersebut ialah lanjutan daripada percubaan penanaman spesies bakau di pantai Bukit Batu Puteh, Kuala Perlis, Kampung Pulau Sayak dan Kampung Sungai Yu, Kuala Muda, Kedah yang dimulakan pada 2007. Oleh kerana, projek penanaman bakau di lokasi berkenaan tidak menghadapi masalah ombak dan arus yang kuat, projek ini menggunakan kaedah penanaman biasa. “Pokok paya bakau tidak perlu menunggu sehingga tempoh matang untuk melindungi kawasan perairan. Asalkan ia kukuh, rapat sesama lain dan ketinggiannya boleh mencapai tinggi ombak, ia mampu menahan impak ombak dan menyelamatkan kawasan tersebut daripada hakisan,” jelasnya. Menurut Dr. Raja Barizan, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah menjalani penyelidikan menstabilkan kawasan pantai di kawasan yang menghadapi hakisan yang serius. Kaedah pemasangan Geotiub iaitu struktur kejuruteraan keras setinggi 1.8 meter menghadap laut telah digunakan. “Kaedah ini akan mewujudkan dataran lumpur di antara Geotiub dan pantai yang sesuai untuk penanaman spesies bakau. Bagaimanapun, masalah yang timbul ialah lumpur yang terbentuk itu masih belum stabil, cair dan lembik menyebabkan ia tidak dapat memegang akar anak pokok. Jadi, kita perlukan kaedah penanaman baru bagi membantu pertumbuhan anak bakau,” jelas Dr. Raja Barizan. Dalam kajian yang dimulakan sejak 2007 itu, satu plot eksperimen bersaiz 200 meter (m) x 55 meter dipilih berdasarkan empat buah geotiub yang dipasang oleh JPS pada bulan yang sama. Menurut Dr. Raja Barizan, kumpulannya memilih tiga jenis bakau iaitu bakau minyak (Rhizhopora apiculata), bakau kurap (Rhizaphora mucronata) dan api-api (Avicennia alba) sebagai tanaman kajian.

Terdapat tiga jenis kaedah tanaman telah dikenal pasti sebagai teknik terbaik penanaman bakau di atas lumpur yang lembik. Iaitu teknik tanaman comp-pillow, comp-mat dan Bamboo Encasement Method (BEM). Teknik comp-pillow menggunakan coir-log sebagai bekas tanaman diperbuat seratus peratus daripada gentian kelapa semula jadi yang dipadatkan dan dibalut dengan jaring polipropolin yang boleh mudah urai. Kaedah ini menelan kos sebanyak RM81.70 seunit. Lima batang anak bakau ditanam di dalam seunit coir-log dan dibiarkan sebulan di tapak semaian dan kemudian ditanam di dalam lumpur dan dikepung dengan empat batang kayu yang dipacak mengelilingi coir-log. Tali propolin diikat di antara batang kayu bagi mengelakkan ia tidak terapung semasa air pasang. “Hasil kajian, kami dapati teknik ini sesuai untuk penanaman pokok api-api kerana akarnya boleh berkembang baik di dalam bekas tersebut,” jelas Dr. Raja Barizan.

Kaedah BEM pula diubahsuai daripada teknik Riley Encasement Method (REM) yang diperkenal oleh Bob Riley. Kaedah ini menggunakan sejenis buluh tempatan (buluh semantan) sebagai bekas tanaman. Anak pokok bakau ditanam di dalam batang buluh sehinggalah akarnya kukuh dan mampu berdiri sendiri. Kaedah ini berkos RM4.10 untuk sebatang anak pokok dan agak perlahan pertumbuhannya. Manakala teknik Comp-Mat pula dengan kos RM89.95 seunit menggunakan bekas berbentuk empat segi tepat yang dibaluti wayar kecil. Ia diisi dengan sabut kelapa yang dicampur dengan lumpur sebagai media tanaman. Bahagian atas dan sisi bekas ini ditutupi dengan plastik polipropalin yang ditebuk dengan lima lubang pada permukaannya.

Menurut Dr. Raja Barizan, bekas ini perlu ditutup untuk melindungi anak pokok dan media tanaman daripada dihanyutkan ombak. “Kami dapati, teknik ini paling berkesan dan mencatat pertumbuhan yang baik di kawasan berombak kuat dan berlumpur. Ini kerana peratus hidup anak pokok bakau kurap dan bakau minyak yang ditanam mengikut kaedah ini menunjukkan kejayaan yang lebih tinggi berbanding teknik lain selepas lapan bulan. Peratus kematian pokok bakau yang tinggi direkodkan ialah disebabkan pukulan ombak dan juga hanyut dibawa arus ombak,” katanya. Pokok bakau ini memainkan peranan penting dalam menjaga alam sekitar serta meminimumkan kemusnahan seperti kejadian yang tidak dijangka seperti tsunami..

0 comments:

Post a Comment