RSS
Write some words about you and your blog here

WAWASAN 2020

WAWAWASAN 2020 KEMAJUAN PEMBANGUNAN NEGARA
Wawasan 2020 adalah satu wawasan (vision) strategik jangka panjang sebagai panduan arah dasar yang luas meliputi pelbagai aspek berkaitan pembangunan negara dalam hubungan dengan perkembangan ekonomi dunia keseluruhannya. Wawasan 2020 memberi panduan arah tuju kemajuan pembangunan negara. Malahan wawasan 2020 juga memberi panduan sasaran negara pada tahap negara maju sepenuhnya. Tahun demi tahun Malaysia semakin mencapai wawasan 2020 yang diimpikan dengan kemajuan pembangunan dalam pelbagai bidang. Wawasan 2020 merupakan satu konsep yang telah dibentangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri pada masa itu di Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Beliau menegaskan bahawa matlamat pembangunan negara ialah menjadikan Malaysia” pembentukkan sebuah negara industry” dan “pembentukkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020…menurut acuan kita sendiri..”
Wawasan 2020 ialah sebuah
wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.
Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa wawasan 2020 berkait rapat dengan teknologi yang digunapakai untuk mencapai kemajuan dan pembangunan di dalam negara ini. Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:

  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan.
Perspektif
Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-

(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia.
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum,keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.

(ii) Negara Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi dipertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.


(ii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidangekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir. Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.

(iv) Moral dan Etika

Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyakmembawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.

(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan.

Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.
Dengan adanya teknologi yang tinggi dan maju negara kita dapat mencapai pembangunan dan kemajuan dalam semua bidang untuk mencapai wawasan 2020. Oleh itu dengan adanya kemajuan teknologi boleh dikatakan negara kita dapat beroperasi dengan mencapai matlamat untuk menjadi salah satu negara membangun dari semua aspek.

0 comments:

Post a Comment